credit to karangkraft
Sesungguhnya syaitan menggunakan dua cara untuk menyesatkan umat Islam. Cara pertama digunakan untuk mengabui seorang Muslim yang bergelumang maksiat. Iaitu dengan menjadikan maksiat yang ia lakukan seakan-akan sesuatu yang indah. Sehingga ia tetap akan jauh dari ketaatan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Al-Jannah dikelilingi oleh segala hal yang tidak disukai, sementara An-Naar itu diliputi dengan syahwat.” (Riwayat Al-Bukhari no. 6487 dan Muslim no. 2822). Adapun cara kedua digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan seorang Muslim yang gemar beribadah. Iaitu dengan mengajaknya berlaku ghuluw (melampaui batas) di dalam beribadah. Sehingga justeru agamanya akan rosak.
Oleh itu, Allah SWT melarang untuk bersikap ghuluw. (Muqaddimah Asy-Syaikh Al-Abbad, kitab Bi Ayyi ‘Aqlin wa Dinin) Al-Imam Makhlad bin Al-Husain rahimahullahu pernah berkata, “Tidaklah Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk berbuat kebaikan melainkan Iblis akan menghadangnya dengan dua cara. Iblis tidak ambil peduli dengan cara apa dia akan menguasainya. Antara bersikap ghuluw di dalam amalan tersebut ataukah bersikap meringankannya.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 9/236).
Mengulas perkara ini, bekas Timbalan Ketua Pengarah II Biro Pengaduan Awam JPM, Dato ’ Hj. Mohd. Nahrawi Hj. Hashim, menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias adalah ditolak. Beliau yang pernah bertugas sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menjelaskan bahawa dalam urusan
perubatan kepada pesakit, satu perkara harus diingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah sahaja berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, dan sakit dan sembuh adalah hak-Nya. Manusia hanyalah disuruh berusaha dan berikhtiar.
Haramnya Ghuluw
Al-Ghuluw secara bahasa bermakna melebihi batasan. Di dalam penggunaannya, seluruh lafaz “ghuluw” selalu bermakna melebihi ukuran dan batasan. Sebahagian ulama mendefinisikan ghuluw dengan menyatakan, “Melebihi dari batas, iaitu dengan menambahkan pujian atau celaan dari hak yang seharusnya, dan yang semisal itu.” (Iqtidha’ush Shirath, 1/328) Adapun di dalam syariat, ghuluw bermakna melebihi batasan yang telah ditetapkan oleh syariat. Agama Islam adalah ajaran yang diturunkan oleh Maha Pencipta, yang telah menciptakan langit dan bumi berikut segenap isinya.
Sehingga, Allah SWT adalah Dzat Yang Maha Mengetahui sebatas mana kemampuan dan kekuatan manusia. Oleh kerananya, Allah SWT menetapkan syariat yang sesuai dengan kemampuan mereka. Agama Islam datang membawa kemudahan bagi pengikutnya, ajaran yang tidak menghendaki adanya keberatan dan kesusahan.
Allah SWT berfirman:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah: 286) Maka dari itu, sikap ghuluw dan berlebih-lebihan adalah kesesatan serta jauh dari tujuan-tujuan suci. Berikut ini beberapa dalil tentang haram dan tercelanya sikap ghuluw.
Allah SWT berfirman:
"Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar.” (An-Nisa’: 171) Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (Al-Ma’idah: 77)
Di dalam dua ayat ini, Allah SWT melarang ahlul kitab dari sikap ghuluw di dalam beragama. Sementara setiap perbincangan yang ditujukan kepada ahlul kitab di dalam Al-Quran dalam bentuk perintah atau larangan juga ditujukan kepada umat Islam. Kerana merekalah yang diajak bercakap di dalam Al-Quran. Apabila Allah SWT melarang ahlul kitab dari sikap ghuluw, maka umat Islam lebih wajar untuk dilarang. (Al-Ghuluw, ‘Ali bin Yahya, m.s 15). Di dalam Al-Quran juga dengan tegas melarang kita dari sikap melampaui batas. Sementara melampaui batas yang telah diterangkan oleh syariat merupakan hakikat ghuluw.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Maidah: 87) Allah juga berfirman kepada Nabi-Nya berikut para pengikut beliau: “Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu, dan janganlah kamu melampaui batas.” (Hud: 112).
0 ulasan:
Catat Ulasan